BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Monday, August 9, 2010

memori- aku bukan aku...MALAM INI MALAM SUNYI..

Malam ini malam sunyi. Tiada kedengaran unggas hutan yang selalunya menyapa telinga. Ku duduk di tepi jendela. Menatap sebuah memori.

Malam ini malam sepi. Tiada deruan angin yang selalunya menampar wajah. Ku duduk di sudut sendirian. Meratap dingin suatu ingatan.

Aku bukan aku yang dulu.

“Mak, Sarah keluar sekejap ya? Nak jumpa Dina. Petang nanti Sarah balik. Mak nak kirim apa-apa?”.
“tak ada apa. Jangan balik lewat sangat. Mak risau ni. Kamu tu anak dara. Tak elok keluar sendirian. Kalau abah tahu, mengamuk orang tua tu nanti.”
Dalam perjalanan ke rumah Dina, fikiranku menerawang pada pertanyaan Su yang kukira begitu pelik sewaktu kami pulang dari sekolah lewat petang semalam. Benarkah Khai mengugutnya? Ah, mungkin Su hanya membayangkan yang bukan bukan. Aku pasti Khai hanya bergurau. Dia memang selalu begitu. Gurauannya sentiasa mendatangkan kegelisahan kami.
“Su masuk hospital!”, terus saja Dina meletakkan gagang telefon tanpa sempat ku meminta sebarang penjelasan. Ya, benar sekali tekaan Su. Firasatnya begitu tepat.
Di hospital, ku sempat bertanyakan Adam tentang keadaan sahabat baikku, Su yang terlantar di wad sakit. Adam sememangnya telah menjadi ‘pengawal peribadi’ Su sejak kebelakangan ini. Dialah yang menemani Su kemana saja sedari peristiwa di perkarangan sekolah tempoh hari.

Siapa boleh lupa bila menyaksikan adegan sekumpulan mat rempit mengepung seorang gadis. Lebih menggerunkan lagi apabila salah seorang daripada mereka mengacukan pisau di lehernya. Nyaris saja nyawa gadis itu melayang di tangan mereka. Mujur apabila pihak polis yang dikerahkan ke sekolah tiba untuk meleraikan keadaan. Kini sekolah sudah seperti penjara elit yang dikawal 24 jam. Ada saja kereta peronda melintasi kawasan sekolah setiap 10 minit. Begitu juga dengan anggota polis yang berkawal di setiap penjuru sekolah.
Rimas, aku rimas!

Aku bukan masa silamku.

“Sarah, kau tak nak join ‘Summer Party’ minggu depan? Jeff nak sangat kau pergi. Aku rasa dia tu dah angau kat kau la. Cara dia pandang kau tu. Boleh cair! Ini dia bagi tiket untuk kau. Dia janji kalau kau pergi, dia akan bawa kau sebagai pasangan dia untuk malam ‘prom’ nanti”, lagak Wan sambil menayangkan tiket berwarna kuning keemasan di tangannya.
Sememangnya ‘Summer Blast’ adalah parti tahunan yang amat dinanti-nantikan oleh semua remaja. Hanya mereka yang popular sahaja yang layak untuk memiliki pas masuk ‘emas’ ke situ. Di sanalah kita dapat temui golongan popular yang berjaya menempatkan diri mereka dalam kalangan sosialitas yang sememangnya diimpikan oleh anak muda di bandar.
“Jeff, awak betul-betul sukakan saya ke? Saya tak nak awak berkawan dengan saya kerana terpaksa & saya juga tak mahu awak mainkan perasaan saya.”
Mulai dari saat itu, di mana sahaja aku berada, di situ juga pasti ada Jeff. Bingung juga aku memikirkan perangainya yang sudah mula pandai mengambil hati aku. Cair aku dibuatnya. Kalau dahulu, sebelah mata pun aku tidak dijelingnya. Kini, wajahku yang menjadi tatapan setiap masa.
Bingung, aku bingung!

Aku bukan aku yang lampau.

“Aku kat mana ni?”
Menurut Mak Long, semua yang belajar di sini bijak bijak belaka. Yang terbaik di Malaysia katanya, termasuklah aku. Benarkah itu?
Hidupku di sini terkongkong. Tiada siapa yang mengambil berat tentangku seperti mana Jeff menjagaku dahulu. Tiada lagi rakan-rakan yang setia disampingku susah & senang.
Sungguh konvensional masyarakat di sini. Kehidupan malamku tidak lagi bebas seperti mana waktu di bandar. Pakaian harianku kini hanyalah baju kurung yang kelihatannya seperti kelambu yang menutupi setiap inci tubuhku. Pergaulanku kini terbatas.
“Eei, penatlah duduk kat sini. Tak boleh ke mak hantar Sarah ke kolej lain? Kolej swasta kan banyak. Sarah tak kisah jurusan apa pun asalkan bukan di sini lagi. Penat. Sarah dah tak tahan tahu tak? Asyik makan nasi kawah saja. Ni badan Sarah ni dah gatal-gatal sejak pakai baju kurung.”
Belum sempat aku meneruskan rungutan, kedengaran suara abah di hujung talian. “When I said no, means no. Okay? Abah dah tak nak dengar lagi Sarah merungut. Kalau Sarah tak nak belajar hidup kat sana, abah akan hentikan elaun Sarah! Faham?”. Talian terputus.

Masih aku di sini.

“Sarah, mari kita ke masjid malam ni. Ada sedikit ceramah selepas solat Isyak.”
Aku hanya membontoti Aisyah tanpa banyak soal. Selesai solat Maghrib, kami membaca surah Yasin diikuti dengan solat Isyak berjemaah.
Entah mengapa lidahku kelu untuk berbicara. Aku lebih banyak membisu sepanjang malam. Ceramah oleh Ustaz Razmi bertajuk ‘Hijrah Remaja’ begitu menggamit perhatianku. Ku hayati setiap bait katanya dengan teliti. Aku tidak mahu ketinggalan walau sepatah pun.
Pulang ke hostel malam itu, aku sukar untuk melelapkan mata walau jam sudah menunjukkan pukul 3.00 pagi. Aku asyik teringatkan apa yang diperkatakan oleh Ustaz sebentar tadi. Ia berputar ligat didalam kotak fikiranku seakan tidak menemui jalan keluarnya. Rasanya begitu dekat sekali dengan diriku ini. Bak kata orang, sudah terkena ‘batang hidung’ sendiri!
Resah, aku resah!

Aku telah terpana.

“Wah, siapa lelaki tu? Hensemnya dia!”.
Aku begitu teruja untuk mengenalinya dengan lebih dekat. Setiap kali terlihat kelibatnya, hatiku melonjak gembira. Aku jadi tak keruan.
“itulah Azlan. Sangat baik orangnya. ‘budak masjid’ tu. Tak ada harapan la kau nak dekat dengan dia.”
Setelah dirisik, barulah aku tahu akan gerangan si tinggi lampai,berwajah bersih yang telah berjaya menawan hatiku ini.
Pelbagai usaha telah aku lakukan untuk menambat hatinya. Namun satu pun tak pernah diendahkannya. Aku bak tunggul yang langsung tidak menarik perhatian sang kupu-kupu.
Aku cuba berubah.
Dulu sebulan sekali pun susah nak nampak bayang di masjid. Kini hampir setiap malam aku kesana.
Dulu aku adalah pelajar yang paling bergaya di kolej. Kini aku telah bertudung & berimej muslimah.
Dulu akulah yang paling malas ke kubikel untuk berjumpa pensyarah. Kini akulah muka yang paling terkenal dalam kalangan pensyarah.
Dulu akulah pelajar yang paling teruk dalam kelas. Kini aku adalah pelajar top dalam kuliah!
Semuanya untuk awak Azlan.
Segala perubahanku ini membawa kebingungan kepada teman-temanku.
Suatu hari, aku terima sebuah bungkusan berbalut kertas hadiah warna merah hati. Disertakan juga sepucuk surat dari sang arjuna yang telah lama kunantikan. Surat cintakah itu?

Assalamualaikum,
Ke hadapan saudari Nur Sarah Allyna.
Saya harap awak berada dalam keadaan sihat sejahtera hendaknya. Sebelum saya mulakan bicara, saya ingin meminta maaf jika selama ini saya tidak begitu mengendahkan awak.
Sarah, awak seorang gadis yang cantik & menarik. Saya pasti akan itu & tidak pernah menafikannya.
Namun, sebagai seorang muslim, ada batasan yang perlu dijaga. Awak seorang wanita & saya tetap seorang lelaki. Ya, saya tidak mendekati wanita. Jikalau wanita itu terciptakan untuk saya, pasti Allah akan ketemukan kami kembali suatu hari nanti dengan ikatan suci.
Saya sedar akan perubahan diri awak yang begitu positif. Saya benar gembira melihatnya. Saya harap awak melakukannya dengan hati yang ikhlas. Jangan sekali kali awak berubah hanya kerana inginkan sesuatu yang sementara. Berhijrahlah demi sesuatu yang kekal abadi di sisi Allah s.w.t.
Saya yakin awak faham akan maksud saya. Sekali lagi saya memohon maaf jika saya ada mengguris hati awak. Tiada niat di hati saya walau sekelumit pun untuk menyakiti. Saya cuma ingin yang terbaik untuk saudara saya. Ya, sesungguhnya kita ini bersaudara. Bukankah semua muslim itu bersaudara? Semoga Allah s.w.t melimpahkan rahmat-Nya ke atas kita. Semoga kita diberi keampunan-Nya. Semoga kita dianugerahkan taufik & hidayah-Nya. Insyaallah.
P/S: saya harap awak sudi menerima pemberian ikhlas dari saya ini. Jagalah ia sebaik mungkin. Sesungguhnya kalam Allah s.w.t itu adalah penyuluh kehidupan mukmin sejati.

Yang benar,
AZLAN AZIZ…




Tanpa kusedar, airmataku gugur membasahi pipi. Sungguh aku tidak menyangka begitu sekali isi kandungan surat tersebut. Selama ini aku tidak menyedari dia begitu mengambil berat akan hal diriku. Dan yang paling menyentuh perasaanku; kini kusedar bahawa semua yang kulakukan selama ini dibayangi kepura-puraan. Benar katanya. Jika bukan kerana dia, pasti aku masih aku yang dulu. Tidak mengenal dosa & pahala. Tidak kuduga sepucuk warkah ini telah berjaya menangkis kekhilafan masa silamku. Ya Allah ya Tuhanku. Kau ampunilah segala kesalahanku!

PAPP!..
Bunyi pintu membangkitkan aku dari lamunan. Ayah sudah pulang dari masjid. Jarum jam hampir menganjak ke angka 11. Astaghfirullahalazim! Aku belum solat Isyak lagi..

0 comments: